TEACHER HAS . . . ?

Bagi sesiapa yang mengenali empunya diri ini, teruskan menerokai catatan dan coretan ini....cukuplah sekadar koreksi diri dalam dunia fana ini...kerana hidup kita ini pasti ada penghujungnya nanti....Ya ALlah, andai ini mampu kupersembahkan sebagai usaha-usaha untuk mendaulatkan agamaMu, Kau terimalah ....

Monday, July 25, 2011

"Accidently".....

Sekali lagi, secara tak sengaja, terserempak aje dengan mereka yang kuanggap sebagai mad'u di bumi bertuah ini. Pertembungan petang tadi memang benar-benar secara tidak sengaja....atau secara kebetulan. Apakah sikap ramahku yang sering menegur anak-anak didik harapan ummah itu, suatu yang tidak digemari oleh umum? Atau apakah sikapku itu, memang tidak disukai oleh murid-muridku sendiri...?

Selagi bernama guru, itulah sifat mulia yang perlu ada...membina pada yang jatuh. Menyokong biar sampai padu. Melengkapi akan kekurangan yang ada. Walaupun mungkin di sisi manusia lain, sikap ini tidak disenangi(berdasarkan pengalaman yang sudah-sudah). Demi mereka yang masih perlu akan sebuah bimbingan dan panduan, biarlah diri ini kuhambakan demi janji yang pernah dahulu kusetiakan bersama sahabat-sahabat seperjuangan, semoga inilah sahaja yang dapat kupersembahkan nanti, sebagai sekelumit hidangan dari hamba Mu yang berdosa buat Al Khaliq yang dirindui.....

Dalam tazkirah dari radio IKIM.fm semasa memandu pulang dari sekolah tadi, oleh Ustaz Pahrol, ada dikatakan kebanyakan orang tahu Allah melihat, tapi tak ramai yang rasa Allah melihat..... Sesuai benarlah dengan apa yang menimpa A***** yang kutegur petang tadi. Namun, kupuji akan kejujurannya, berkata benar, biarpun memang itu suatu yang salah. mungkin hasil didikan ibubapanya, dia telus dalam berbicara...(orang biasa sebut 'lurus bendul'). Tapi, bagiku, sifatnya itu jugalah yang menyelamatkan beliau dari terus dalam kesilapan dan kealpaan.... Dan dari situ jugalah sebenarnya terpancar cahaya kasih dan sayang Allah, Rabbul Izzati buatnya...

Dalam banyak hal dan situasi, itulah kekunci kata umpama kata keramat yang sering kuperkatakan buat anak-anak didikku yang kukasihi... "Allah amat menyayangi kamu, dengan sebab itulah Allah takdirkan awak cikgu temui buat perkara itu dan ini." Harapanku agar jauh di sudut qalbu mereka, akan terselit jua sedikit rasa kasih sayang Allah buat mereka dan bukannya sebagai hukuman atas kejahilan mereka....

Apa yang kulakukan itu, tiada apa ganjaran yang kuharapkan, semata-mata sebagai menjalankan tanggungjawab sesama Muslim. Mungkin tiada apa kebaikan lain yang mampu kubuat, hanya inilah sahaja. Buat anak-anak didikku yang terbaca bait-bait ini, insaflah....berkadaranlah kita melakukan kesilapan di bumi pinjaman Allah ini... Jangan esok, sehingga segala nikmat yang dipinjamkan kepada kita, ditarik segalanya oleh Allah....wa nau'zubillah....

Tazkirah tadi diakhiri oleh Ustaz Pahrol dengan kata-kata ini :

"Mendidik di waktu kecil, umpama mengukir di atas batu;
Mendidik di ketika besarnya, umpama mengukir di atas air"

Semoga segala yang kuhadapi sehari demi sehari ini akan dapat meningkatkan titik-titik kesabaran dalam hati ini.... Duhai hati, ingatlah bahawa apa yang kau lakukan ini, bukanlah demi jawatan tetapi adalah demi amanah sebagai khalifah di muka bumi Allah ini, apatah lagi di akhir zaman ini, sudah pasti pelbagai bentuk dan cara ujian Allah kirimkan, tabahlah duhai hati...




No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails