TEACHER HAS . . . ?

Bagi sesiapa yang mengenali empunya diri ini, teruskan menerokai catatan dan coretan ini....cukuplah sekadar koreksi diri dalam dunia fana ini...kerana hidup kita ini pasti ada penghujungnya nanti....Ya ALlah, andai ini mampu kupersembahkan sebagai usaha-usaha untuk mendaulatkan agamaMu, Kau terimalah ....
Showing posts with label Coretan Seorang Guru. Show all posts
Showing posts with label Coretan Seorang Guru. Show all posts

Saturday, November 16, 2013

Air Kasih Sayang & Doa Perpisahan

Inovasi 1 : Air Kasih Sayang
Inovasi 2 : Pelbagai Kegunaan
Dan......tiba juga akhirnya tarikh akhir persekolahan sesi 2013 ini. Semoga setiap selakan kenangan itu mendamaikan. Terlalu banyak pos yang tertinggal.....akibat kesibukan sehingga tanggungjawab menulis ini dikemudiankan. Tekad malam ini, ini sebagai Pemangkin semula semangat yang telah lama diam. Insya Allah dengan keizinanNya, akan muncul lagi yang lain-lain....Tragedi Oktober, Ukhuwwah Sampai Syurga dan lain-lain....

DOA PERPISAHAN : BROTHERS

Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci

Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah diatas suratan
Kutetap pergi jua

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Alloh bantulah hamba-Mu

Mencari hidayah dari pada-Mu
Dalam mendidikan kesabaranku
Ya Alloh tabahkan hati hamba-Mu
Diatas perpisahan ini

O.. uwo.. ho..

Teman betapa pilunya hatiku
Menghadapi perpisahan ini
Pahit manis perjuangan
Telah kita rasa bersama
Semoga Allah meredhoi
Persahabatan dan perpisahan ini
Teruskan perjuangan

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Alloh bantulah hamba-Mu

Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga... Tuhan berkatimu

Oo.. ho.. o...

Specially done for all of you, 5AK 2013.


Monday, January 28, 2013

Terpenjara di Daerah ini....


Setelah sekian lama, jemari ini berhenti tarinya....... Sejenak perbualan dengan 'amanah' dari Tuhanku yang semakin meningkat remajanya, membuat hatiku terdetik untuk membariskan kata2 ini.......

TERPENJARA DI   DAERAH INI.....

Apa yang membuatkan terkeluar kata-kata penuh makna itu - biarlah Allah sahaja yang mengetahui..... 'Amanah' dari Tuhanku berkata hanya dia sahaja yang tidak dapat menerima RM100 tadi, disebabkan 2 perkara :

i) tiada ibu atau bapa yang hadir
ii) tidak membawa salinan i.c ibu dan ayah

Maka, bersoal jawablah kami untuk mengungkai apakah puncanya sehingga menjadikan begitu keadaannya. Dalam bersoal jawb itu - terlihat juga kedewasaan bicaranya.....suatu yang boleh dipermudahkan, usahlah pula disukarkan.... Soalnya, sama ada kita hendak memudahkan sesuatu atau menjadikan ia tidak mudah....

Sempat aku menasihati, sabar adalah ubat segalanya. Berdoa kepada Allah, dengan doa ini : YA ALLAH, KAU TUNJUKKANLAH YANG HAQ ITU SEBAGAI HAQ dan YANG BATHIL ITU SEBAGAI YANG BATHIL.



Memang kekadang jiwa kita meronta kerisauan dengan ketetapan dan syarat terma dunia dan aturan manusia yang berjiwa duniawi. Kita tak boleh nak lari dari kehendak manusia yang rata-ratanya berkehendakkan kepada dunia, kekayaan, kemewahan, kesenangan, kejayaan dan apa jua yang menyeronokkan. Kita lupa kekadang itu seuatu yang kita tak suka, kita benci atau kita takuti - itulah sebenarnya penawar yang tersembunyi dari Illahi..... Itulah sifat dan kelemahan kita sebagai hambaNya yang lemah, sering memilih sesuatu yang hanya nampak mudah, tetapi sebenarnya di situlah punca segala padah.

Amat sukar untuk nak menegakkan suatu yang BENAR pada jalan KEBENARAN. Seringlah berdoa kepada Allah, agar diberi keyakinan yang benar-benar mantap terhadap agama suci yang kita anuti sejak datuk nenek moyang kita dahulu. Usahlah kita digelar hanya Islam Genetik!(Islam Keturunan) semata-mata.


Betul juga kata-kata yang didengari dalam sesi perhimpunan pagi tadi, BIARLAH KITA DUDUK DI BAWAH, ASALKAN KITA DALAM KEADAAN BENAR, jangan kita mengejar untuk berada di atas, tetapi penuh dengan jalan penipuan, pembohongan dan permainan kata-kata semata-mata, kerana di situ akan akan penilaian yang lebih hakiki iaitulah dari Tuhan sekalian alam ini, Rabbul Izzati....

Kekadang bicara alam sekeliling kita umpama memberi peringatan kepada diri yang sering lupa tadi. Kedamaian yang sememangnya mententeramkan jiwa kekadang boleh terus bertukar menjadi ganas, kekadang itu sebagai petanda amaran dari Allah, cuma setiap kali itu jugalah kita menjadi mereka yang alpa.....

Mendamaikan....
Kembali yakin!
Alam yang berbicara
Maka, terus-terusanlah berdoa kepadaNya, agar Islam kan disanjung tinggi walaupun kita semua berada salam zon umat akhir zaman....Semoga kita semua nanti, akan dikenali oleh Muhammad s.a.w, sebagai umatnya yang disayangi, amalkanlah segal Sunnah nabi tercinta, sedapat yang mungkin. Cari dan perdalamkanlah lagi ilmu yang ada agar kita menjadi hambaNya yang bukan setakat bernama Islam tetapi boleh berbicara tentang Islam, insya Allah.... Jangan kita menjadi seperti segelintir manusia yang boleh dijual beli, diperkotak katik, waimah soal keturunan dan agamanya..... Nau'zubillah....




 Jadilah kamu sebaik-baik manusia di muka bumi Allah ini.....sesuai dengan maksud ayat Al-Quran ini :


‘Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)’.


Saturday, March 17, 2012

Ter.....

Tersentak sejenak tadi, pabila baris demi baris menatapi betapa 'keletah'nya perbualan semuda usia 14 tahun anak-anak didikku bermain kata. Mungkin pada kalian itu hanya jenaka dan untuk suka-suka semata. Tapi mungkin kalian terlupa terdapat dua insan utama dalam hidup kalian yang anda "permainkan"...iaitulah ibu sendiri dan bonda Pengetua, yang boleh dirangkap sebagai ibu tatkala kita berada di sekolah.

Mengapa harus ia terjadi sekali lagi, pada kalian.....mereka yang pernah cikgu didik....? Seringkali cikgu ingatkan dan perjelaskan, diselitkan sepanjang sesi P&P, dan watak nakal itu sebenarnya telah pun terserlah sejak dari awal lagi... Cikgu perasan, cuma hanya berdoa semoga kalian diberikan hidayah agar tidak terus-terusan 'seronok' dalam kealpaan.

Kita umat akhir zaman....mudah terlupa dan terleka walaupun hanya dengan sedikit permainan dunia ini.... Usahlah terlalu mudah diperdaya dengan segala yang mungkin menjatuhkan maruah kita sendiri sebagai umat Islam...kerana di situ kita mungkin terlupa akan janji kita dalam kalimah syahadah yang sering kita lafazkan setiap kali dalam solat kita.... :

JANJI KITA SEBAGAI KHALIFAH DI BUMI ALLAH INI,
UNTUK MENEGAKKAN KEBENARAN
DAN
MENCEGAH KEMUNGKARAN


Friday, February 10, 2012

Watak-watak Itu

Sesekali, terusik juga hati seorang guru itu, bila melihatkan gelagat mereka, mendengarkan betapa "trendy"nya hidup mereka di zaman ini. Sangat berbeza dengan zaman persekolahan si guru itu... Kekadang itu, yang dilihatnya itu, bukan pun muridnya atau bekas muridnya, tetapi secara terus, ingatan seorang guru itu kan terus membuatkan ia mengimbau segala detik kenangan bersama mereka yang bergelar murid... Nama-nama yang 'terkenal' masih segar dalam ingatan si guru itu... Entah dah jadi apa lah mereka... Zaman terus berlalu, tahun demi tahun ditinggalkan, si guru tetap berjawatan guru sebagai suatu profesion mulia tiada tandingannya..... Tapi, si murid dah menjadi macam-macam....dari seorang doktor, jurutera, usahawan, pensyarah, ustazah dan guru, segalanya ada....
Guru ibarat pelita :
menerangi kehidupan seorang murid


Apabila disantuni pula si guru itu dengan mereka yang jenis mengikuti arus perkembangan terkini, tetapi dalam pada masa yang sama, tetap mempertahankan norma-norma utama sebuah kehidupan sebagai seorang Muslim/bangsa Melayu...serta pegangan yang menampakkan jatidiri mereka, sejuk mata memandang dibuatnya.... Alhamdulillah.... Sekali lagi, ligat berputar fikiran si guru bagaikan 'slide projector' yang mengimbau satu per satu wajah-wajah murid dan bekas muridnya yang umpama penawar di kala duka....

Kehidupan - suatu yang perlu direnungkan
Persoalkanlah pada diri - Sampai bila?

Secara sedar atau tidak itulah lumrahnya.... Guru tetap guru, satu demi satu profesion lain muridnya akan ditauliahkan atau diijazahkan....tetapi mereka tetap seorang guru... Jika menjadi si murid itu sebagai seorang insan, mahupun sebagai manusia, si guru akan menumpang gembira dan rasa bersyukur kerana menjadinya si murid yang pernah dididiknya - suatu ketika dahulu mungkin dengan bekalan ilmu formal untuk jawatan yang dijawatnya sekarang, tetapi jauh lebih bersyukur dan gembira apabila si murid dapat mengaplikasikan ilmu kehidupan sebagai seorang Islam dan manusia akhir zaman, yang mana ilmu itu tersampai secara informal; dari perwatakan yang dibina, percakapan dan perbualan harian mereka, cara pergaulan dan mungkin juga dari pemerhatian si guru andainya ada kes-kes istimewa..... Ilmu sebeginilah yang jauh lebih bermakna sebenarnya, walaupun ianya tidak tersenarai dalam huraian sukatan pelajaran atau juga termasuk dalam skop peperiksaan, namun ianya tersirat di sebalik sebuah pengajaran yang barokah dan diredhai ALlah...
Semoga anak-anak muridku kan terus ingat akar umbi hakikat seseorang itu dihidupkan dalam sebuah dunia nyata yang seharusnya dijadikan ladang untuk sampai ke dunia yang lebih kekal iaitulah akhirat. Coretan ringkas ini, sekadar mengimbau - apabila melihatkan 2 watak yang ditemui sepanjang kursus yang dihadiri :

1 - Seorang doktor muda(awal 30-an) yang nampaknya mengikuti perkembangan terkini dari segi penampilan, tetapi dalam pada masa yang sama tetap tidak bersetuju apabila diperkatakan anak muda zaman sekarang suka berlanjutan waktu malamnya; hari malamnya umpama siang - apabila dunia dan maklumat yang kini hanya terus dapat diakses di hujung jari..

2 - Seorang pelayan di cafe hotel(20-an) yang tidak berasa segan untuk menegur seorang peserta kursus, yang mirip wajah gurunya, sedangkan sebenarnya pelanduk dua serupa. Teguran itu dengan penuh sopan dan rasa hormat, walaupun dia hanya seorang pelayan yang kerjanya mengangkat pinggan dan mengemas meja..

Semoga akan bertambah ramai orang muda yang seperti 2 watak ini, di era akhir zaman ini. Ya Allah, lindungilah anak-anak muridku dari terleka dan terjerumus dek tipuan dunia yang terlalu banyak melalaikan dan melekakan... Ameen...


Thursday, July 28, 2011

Melangkah longlai kaki ini...


Lemah longlai kaki kulangkah…. Bagai tak terasa bumi ini kupijak…. Allah kalau nak uji hamba-hambaNya – pelbagai cara diberi…

Sekembali tadi dari menjenguk murid yang menerima kemalangan beberapa hari lalu, membuatku insaf akan nikmat kehidupan dan kesihatan yang Dia kurniakan kepada kita semua. Secara sedar mahu pun tidak, nikmat-nikmat itu semakin berkurangan sedikit demi sedikit hari ke hari, tahun ke tahun.

Imbas.....

Dalam seramai-ramai yang ada, dia yang Allah pilih. Pelbagai tafsiran.... Apa pun tafsirannya, mereka – manusia berhak berkata-kata. Allah pilih yang bersifat sepertinya untuk diuji sebegitu caranya. Mungkin kalau diuji kepada kita dengan ujian seumpama itu, entahkan tabah atau tidak seperti mereka berdua tadi... Si ibu yang tampak cekal hatinya, si anak yang terus meriakkan wajah taatnya seorang anak.... Allahu Akbar.......

Tuhan, tabahkanlah hati ibunya menghadapi ujian ini, satu-satunya zuriat yang dia ada; diuji dengan mengambil sedikit nikmat kesihatan yang ada.... Sempat ku mengusik jiwa si ibu, dengan mengatakan kepadanya, "kenalah jaga dia, macam jaga masa kecilnya..." Dengan selamba, ibunya menjawab; "entah-entah ini lagi susah....", tapi penuh selamba dan sabar, teguh hati seorang ibu.... Sembuhkanlah muridku ini...dia murid yang baik, anak yang baik...semoga dengan ujian Mu ini, semakin bertambahlah ketaqwaan semua, samada yang secara langsung atau pun secara tidak langsung...

Renungan....

Jika kita fikir, kita dalam susah, ada di sana yang lebih susah....

Jika kita fikir kita sakit, nah di situ lebih ramai yang sakit....

Jika kita rasa kita banyak masalah, mereka yang lain itu lebih banyak masalahnya.....


Insaf......

Syukur padaMu Ya Allah, dapat jua kuluangkan sedikit masa tadi untuk membuat suatu sunnah yang mungkin ada di antara kita kurang amal dan kurang senang untuk melakukannya...menziarah yang sedang dalam sakit... Teringat-ingat akan diriku kepada murid-murid terdahulu yang senasib dengan mereka; Nadzirah, Izzati Husna, Ummira dan mungkin lain-lain yang telah aku terlupa.... Syukur sebab mungkin dengan anugerah tempat mastautinku ini, memudahkan ku untuk berurusan sebegitu cara.... Alhamdulillah...



Monday, July 25, 2011

"Accidently".....

Sekali lagi, secara tak sengaja, terserempak aje dengan mereka yang kuanggap sebagai mad'u di bumi bertuah ini. Pertembungan petang tadi memang benar-benar secara tidak sengaja....atau secara kebetulan. Apakah sikap ramahku yang sering menegur anak-anak didik harapan ummah itu, suatu yang tidak digemari oleh umum? Atau apakah sikapku itu, memang tidak disukai oleh murid-muridku sendiri...?

Selagi bernama guru, itulah sifat mulia yang perlu ada...membina pada yang jatuh. Menyokong biar sampai padu. Melengkapi akan kekurangan yang ada. Walaupun mungkin di sisi manusia lain, sikap ini tidak disenangi(berdasarkan pengalaman yang sudah-sudah). Demi mereka yang masih perlu akan sebuah bimbingan dan panduan, biarlah diri ini kuhambakan demi janji yang pernah dahulu kusetiakan bersama sahabat-sahabat seperjuangan, semoga inilah sahaja yang dapat kupersembahkan nanti, sebagai sekelumit hidangan dari hamba Mu yang berdosa buat Al Khaliq yang dirindui.....

Dalam tazkirah dari radio IKIM.fm semasa memandu pulang dari sekolah tadi, oleh Ustaz Pahrol, ada dikatakan kebanyakan orang tahu Allah melihat, tapi tak ramai yang rasa Allah melihat..... Sesuai benarlah dengan apa yang menimpa A***** yang kutegur petang tadi. Namun, kupuji akan kejujurannya, berkata benar, biarpun memang itu suatu yang salah. mungkin hasil didikan ibubapanya, dia telus dalam berbicara...(orang biasa sebut 'lurus bendul'). Tapi, bagiku, sifatnya itu jugalah yang menyelamatkan beliau dari terus dalam kesilapan dan kealpaan.... Dan dari situ jugalah sebenarnya terpancar cahaya kasih dan sayang Allah, Rabbul Izzati buatnya...

Dalam banyak hal dan situasi, itulah kekunci kata umpama kata keramat yang sering kuperkatakan buat anak-anak didikku yang kukasihi... "Allah amat menyayangi kamu, dengan sebab itulah Allah takdirkan awak cikgu temui buat perkara itu dan ini." Harapanku agar jauh di sudut qalbu mereka, akan terselit jua sedikit rasa kasih sayang Allah buat mereka dan bukannya sebagai hukuman atas kejahilan mereka....

Apa yang kulakukan itu, tiada apa ganjaran yang kuharapkan, semata-mata sebagai menjalankan tanggungjawab sesama Muslim. Mungkin tiada apa kebaikan lain yang mampu kubuat, hanya inilah sahaja. Buat anak-anak didikku yang terbaca bait-bait ini, insaflah....berkadaranlah kita melakukan kesilapan di bumi pinjaman Allah ini... Jangan esok, sehingga segala nikmat yang dipinjamkan kepada kita, ditarik segalanya oleh Allah....wa nau'zubillah....

Tazkirah tadi diakhiri oleh Ustaz Pahrol dengan kata-kata ini :

"Mendidik di waktu kecil, umpama mengukir di atas batu;
Mendidik di ketika besarnya, umpama mengukir di atas air"

Semoga segala yang kuhadapi sehari demi sehari ini akan dapat meningkatkan titik-titik kesabaran dalam hati ini.... Duhai hati, ingatlah bahawa apa yang kau lakukan ini, bukanlah demi jawatan tetapi adalah demi amanah sebagai khalifah di muka bumi Allah ini, apatah lagi di akhir zaman ini, sudah pasti pelbagai bentuk dan cara ujian Allah kirimkan, tabahlah duhai hati...




Thursday, May 26, 2011

Detik di hati....


Mimpi kelmarin terlintas kembali....nafas dihela panjang....apakah peringatan Allah yang ingin disampaikan kali ini..... Astaghfirullah...Ya Allah, jauhilah kami dari segala fitnah lagi dan sengketa lama.... Satu persatu wajah bersih anak didikku yang sedang tekun memerah fikiran, menjawab peperiksaan kurenungi....jauh ke lubuk hatinya kucuba selami.... Kalau tidak disebabkan kalian yang di hadapan ini, tidak kukuh semangat itu untuk terus disuburkan di bumi nan bertuah ini.....tidak berkudrat kaki ini untuk meneruskan langkah di sini..... Satu persatu ujian mendatang..... Satu persatu, parut yang lalu, tak mungkin hilang....andai ditoreh, kan berdarah dan bernanah kembali...

Namun, sikap bersabarlah yang terbaik dalam setiap permasalahan yang tiba. Sungguhpun begitu, adakalanya diri tercabar jua... Masakan tidak, andainya kebenaran yang sahih tidak dinyatakan, persoalan yang timbul tidak berjawapan.... Kebajikan mereka usah dilupai, tanggungjawab kita sebagai yang memegang amanah ini.... Bukannya mudah, tapi suatu usaha yang mulia, namun andai tidak dialun sebaiknya, nah...tunggulah persoalan dariNya di hari akhir nanti....


Atas sebab adanya hari akhir itulah, maka tidak putus-putus ingatan dan ingatan diberi...mungkin bosan! Itulah yang terselit di sanubari kalian... Allah jualah yang mengetahui segalanya....akan keikhlasan, ketulusan dan apa yang dikatakan kasih sayang kepada mereka yang berada di dalam tanggungjawab kita semua. Jika masing-masing melaksanakan tanggungjawab itu, saling tegur dan menerima, ikhlas dalam berusaha....kuranglah tekanan yang menimpa.... Andai masing-masing mampu berlapang dada bila diberi peringatan, itulah resepi kejayaan seperti mereka terdahulu yang telah menjulang nama di persada kegemilangan.... Ya Allah, kami sesungguhnya terlalu tinggi hajat dan keinginannya....tetapi adakalanya kami tidak sedar akan kesilapan yang kami sendiri sering lakukan... Ya Allah, kirimkanlah kami bantuan, andai peluang kedua itu masih terbuka untuk kami yang amat kerdil amalan ini...usah dibiarkan kami sendiri yang mengatur dan menentukan nasib diri kami sendiri....maka akan jadilah kami mereka yang malang dalam kehidupannya....

Marilah sama-sama kita bermuhasabah.......semua takdir Illahi yang kita terima ini, sebagai belaian indah kasih sejati dari Rabbul Izzati, untuk kita para hambaNya yang masih bersisa baki hayat kita di muka bumi ini. Andai tiada lagi esok untuk kita, maka kan ke manakah kita bawa nasib yang kini bagai diturut arah sang bayu nan bertiup... Cukup-cukuplah yang telah berlalu biarkan ia berlalu....semoga kisah semalam menjadi pengajaran dan pengalaman yang akan mendewasakan kita semua.... Harungilah duhai diri hari mendatang itu dengan segala kekuatan yang dapat kau garap kini, kerana tidak kita pasti apakah esok masih ada lagi unutk kita semua.....

Wallahua'lam...

Thursday, May 12, 2011

Looking forward.....

Guru sebagai moderator, pembimbing dan apa sahaja gelaran yang selayaknya diberikan kepada mereka. Seumpama seorang ibu yang melunasi setiap apa kehendak si anaknya. Seharusnya mereka dihormati, diingati, dilindungi dan tidak dilupai, disombongi malah diperlekehkan, kerana di situ adanya sebuah keberkatan untuk hidupmu, duhai anak-anak didik sekalian...

Harapan mereka

Harapan kalian dijadikan kenyataan, sehingga kini kalian menjadi manusia yang sebenarnya.


Kepayahan anak didiknya dijadikan rutin amal jariahnya. Didikan, bimbingan dan dorongan tak pernah lekang dari bibirnya; sungguhpun mereka seringkali juga mewarnai hidup kalian dengan teguran, amaran atau mungkin kekadang kemarahannya, mungkin dek kepenatan seharian. Hargailah mereka.....Gurumu bagaikan lilin, pelita, lampu kalimantang atau apa saja yang menerangi... Haytilah lirik lagu nasyid kumpulan In Team; LILIN SEORANG GURU

Pernah langkah ku payah
Menuju ke destinasi

Kerana malam gelap

Dan bintang hilang kerdipnya


Menjadikan arah ku keliru

Ke timur atau ke barat

Bagai lilin membakar diri

Menerangi kegelapan hati


Kau curahkan bakti dan budi

Jasamu tiada berganti

Namun tanpa rasa payah

Dia memimpin tanganku

Melangkah satu persatu

Dan mencipta jejak impian

Menjadikan arahku jelas

Aku harus ke hadapan


Ohoo… aku kini rindu

Pada satu nama yang berjasa

Tuhan, beri kekuatan
Untuk mendidikku selamanya


Ku pohon restu kasih-Mu

Ampunkanlah guru-guruku

Semalam ku lihat dia

Di bibirnya ada kalimah


Yang bergetar saban waktu

Sambil tangan menggenggam lilin

Lilin yang tiada terpadam

Menerangi hidupku kini

Selayaknya mereka dijadikan antara insan-insan penting dalam hidup kita, mengajar mengenal huruf dan angka, mengeja terus membaca. Bila di alam lebih dewasa, guru terus membimbing memberi kefahaman tentang proses, teori, mengertikan suatu formula mahupun mekanisme serta proses di alam maya. Menyelesaikan persolan dalam hipotesis yang diungkai bersama, sehinggalah suatu keyakinan dalam dirimu tercipta, sehinggalah kau berjaya meraih sebuah kejayaan dan kecemerlangan.

Mereka, guru-guru kita tetap terus ingat akan janji mereka, ikrar mereka, alunan yang mungkin hanya setahun hanya sekali dimelodikan.... Tetapi, merekalah guru kita semua.

Terima Kasih CIKGU!


Thursday, March 17, 2011

Guru adalah.....

*Pastikan objektif tercapai

“Guru adalah ejen sosialisasi
yang berpengaruh
dalam menyemai
semangat kekitaan,
kerjasama
dan

cintakan negara
di kalangan anak didik mereka”
-Tan Sri Muhiyuddin Yassin-


*Don't be like this teacher!

Guru adalah pelukis rohani,
kau jua permata tanpa tanda harga,
Guru jua adalah agen perubahan massa....

Guru jua hadir sebagai
sahabat karib untuk
semua muridnya;
samaa ada yang
menggembirakan
ataupun
yang melukakan....

Renung-renungkanlah
duhai anak-anak didikku
yang dikasihi Lillah....

***Tazkirah musim cuti***




Monday, January 24, 2011

Biarlah, moga Allah bersama yang benar.....

Setelah hampir minggu keempat, sesi 2011 ini, mengapa rasa itu akan datang setiap kali Isnin menjelma....? Apakah tiada lagi ruang dan peluang untuk diri sesiapa sahaja yang bergelar insan di dunia fana' ini untuk menghadapi hari esok dengan hati yang lebih ceria dan yakin bahawa di situ pasti ada janji Allah yang lebih berharga lagi bermakna....?

Kegusaran itu dititip dek setiap episod luka antara diri insan hina ini dengan mereka semua;tak kiralah samada dengan aset utama sebagai pendidik atau mungkin jua sesama teman sejawatan...persoalannya, mengapa rasa itu harus hadir lagi? Mengapa sehingga hadir dalam mimpi di ketika lenaku? Begitu terkesan setiap yang berlalu itu di hati ini...


Duhai anak didikku yang dikasihi Lillah,
Ingatlah bahawa teguran ingatan serta amaranku bukan kerana jawatan...tetapi kerana ianya suatu tuntutan dan hukum Tuhan. Mana mungkin lidah ini akan jadi kelu jika ia benar-benar menyalahi syariat dan terhidang di hadapan mataku. Buat A***** M***, ingatlah apa yang telah kuingatkan. Usah biarkan kemurkaan Tuhan mengatasi keperluan kita untuk berjaya cemerlang nanti. Begitu juga S*** S*******, cukuplah apa yang telah ditakdirkan itu sebagai peringatan yang penuh bererti buat kita mengharungi hidup yang lebih mencabar ini.


Maaf untukmu teman, andai masih ada sekelumit ketidakpuashatian lagi. Sememangnya, hati manusia itu tidak pernah puas. Ada-ada sahaja yang akan dibisikkan si syaitan durjana untuk dijadikan bahan dan modal sengketa mahupun su'uszon sesama kita. Munajatlah kita bersama-sama agar air nan keruh kembali jernih; biar kocak nya ia kembali tenang...demi anak-anak didik bersama yang masih memerlukan kejelasan dalam memilih haluan, kerana kitalah yang bakal dijadikan tempat rujukan, maka semoga kita menyediakan jawapan yang terbaik untuk semua.....

Ya Allah, pimpinlah kami semua menuruti jalanMu yang lurus....
Jauhkanlah kami dari sifat terburu-buru,
agar tidak terpandu mengikut si syaitan durjana..
Amin Ya arbbal Alamin....

Monday, November 29, 2010

Murid Zaman Sekarang, sampai sanggup Tendang Guru(klik sini)

Sejenak direnung kembali kes lama ini,
bagaimana tergamaknya seorang murid
yang baru 14 tahun....
tergamak untuk berkelakuan kasar
terhadap gurunya sendiri.

Apalah nak jadi....

Thursday, November 25, 2010

Terkilan atau biarkan...?

Sejenak ku mengambil kesempatan menjenguk blog-blog tulisan anak didikku. Sungguh 'up-to-date' mereka. Seiringlah dengan perkembangan dan kemajuan zaman teknologi digital ini. Begitu kagum diri ini dengan kemahiran masing-masing mengelola blog persendirian mereka.
Namun, ada sedikit yang mungkin boleh dikongsi bersama. Dari aspek pengurusan masa bagi seorang pelajar... Agak mendalam fikiranku terusik, tertanya-tanya dalam lubuk hati ini, bagaimana tergamak mereka mengabaikan masa yang diperuntukkan bagi mereka untuk memberi tumpuan di saat-saat akhir peperiksaan yang penting dengan urusan blog dan facebook masing-masing...di mana pengawalan ibubapa di kala mereka di bawah pengawasan mereka di rumah masing-masing? Agak terkilan dengan sikap anak didik sekolah cemerlang ini, bagi segelintir yang tidak dapat menguruskan soal itu dengan sebaik-baiknya. Sudah pasti, setiap hujung minggu yang ada gap(dan boleh balik kampung), soal ini akan menjadi godaan utama; pertarungan di antara semangat juang masing-masing yang baru di garisan permulaan dengan tuntutan untuk 'mengemaskini' blog apatah lagi sekadar bertanya khabar di facebook.


Inilah agaknya, jarum halus YAHUDI dan mereka yang memusuhi Islam dan umat Islam yang mudah leka dan lalai. Kecanggihan teknologi, tidak salah kita kuasai, namun janganlah sampai menjejaskan tanggungjawab utama kita; samada sebagai pelajar, anak, isteri, pekerja dan yang paling utama sebagai hamba ALlah yang sudah termaktub dalam Al-Quran, kita sebagai Khalifah di muka bumi ini, seperti mana dalam mafhum firman ALlah swt, Surah Al-Baqarah : 30.

Artinya:
Dan(ingatlah) ketika tuhanmu berfirman kepada para malaikat."Aku hendak menjadikan khalifah di bumi." Mereka berkata, "Apakah engkau hendak menjadikan orang yang merusak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?"Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."(Q.S. al-Baqarah (2):30)


Semoga apa yang dicatat ini kan memberi peringatan buat sesiapa yang membaca, usah disalah ertikan lagi. Sebagai peringatan buat semua, termasuklah diri ini sendiri. Ingat-ingatlah selalu, supaya kemajuan bukannya untuk melalaikan kita, umat Islam akhir zaman ini, insya Allah dan Alhamdulillah.....

Monday, November 22, 2010

Good Luck, ALL THE BEST!


Tiada yang lebih termampu untuk dinukilkan di sini
Hanya sekalung doa pengiring kejayaan

Buat semua calon SPM 2010 terutamanya anak-anak didikku
Hadapilah hari esok dengan hati dan semangat kental
Yang telah sama-sama kalian bajai dengan
Usaha
Keyakinan
Keazaman
Ketekunan
Agar segala yang diimpikan
Bakal menjadi kenyataan dan hakikat yang nyata

Semoga Allah memberikan kemudahan untuk semua
Banyakkan berdoa agar tenang dan tidak 'nervous'
Doa agar Allah pandukan jawapan yang benar(tidak tersasar)
Bukakan minda dengan jawapan sebenar

Bisikkan juga doa agar
Skrip jawapan setiap subjek itu nanti
Selamat sampai ke destinasi pemeriksa
Yang akan disemak dengan penuh ketenangan
Tidak tersilap semasa penandaan
Mahupun semasa pengiraan

Man Jadda Wa Jada!


Doa Masuk Dewan Peperiksaan


Thursday, September 16, 2010

Syukran kalian semua.....

X'students 5 Ibn Khaldun 2006



X'students 5 Ibn Rusyd 2006

Kemeriahan sambutan Hari Raya bagi seorang guru itu memang lebih bermakna apabila anak-anak murid atau mungkin bekas anak murid datang berkunjung ke rumah.... Setiap tahun, akan ada yang berkunjung, penghilang rindu atau mungkin sebagai pengubat rindu.... Ada juga antaranya yang tak pernah terlupa untuk datang berkunjung... Amat bermakna bagi setiap kehadiran itu, buat hati seorang guru... Terharu hati ini dibuatnya....

Namun kekadang itu, hati ini berkata juga....di manakah si A**** tu, beliau tak pernah lupa untuk datang, namun tahun ini....tak kunjung tiba pula.... Mungkin ada masalah yang membuatkan dia tak dapat datang agaknya....

Ada pula, dari jengukan di berita-berita di laman terkenal facebook, mereka bersantai raya di tempat lain, mungkin menghabiskan waktu cuti bersama rakan taulan...namun, tak pula sampai berkunjung ke rumah... Tak mengapalah, mungkin ikatan hati anatara mereka dan diri ini, tidak sekuat mereka yang telah datang berkunjung....

Terima kasih semua yang berkunjung, semoga ukhuwwah antara guru dan murid sesama kita berkekalan....

Thursday, August 26, 2010

Tazkirah Ma'zurah hari ini....

Objektif atau sasaran yang harus dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Objektif taqwa ini telah disebut dengan jelas di dalam Al Quran Al Karim, ayat 183 dari surah Al-Baqarah.

Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.



Ya Allah sesungguhnya engkau Maha pemberi ampunan yang mulia,
suka memberi pengampunan,
maka ampunilah diriku ini


Begitulah antara intipati slot tazkirah untuk mereka yang ma'zurah waktu Zuhur tadi...(oleh Ustazah Azian). Namun, sebegitu cantik susunan program yang telah disediakn oleh pihak sekolah, masih ada lagi segelintir anak didik kami ini yang masih tidak serik-serik untuk berkata tidak benar kepada para guru mereka..... Yang indahnya, susunan aturan Tuhan itu, aku temui aje akan temberang, helah mereka itu. Masya Allah.... Mengapa masih tergamak kalian ini untuk berlembut lidah mengeluarkan kata-kata berunsur pembohongan...

Astaghfirullahal Azim..... Moga diampunkanNya....

Tuesday, August 24, 2010

Damai, tenang....gusar, gundah semula......


Baru sahaja hendak dihubungi, tiba-tiba telefon bimbit ini berbunyi.... Maka, berbincanglah lagi secara tidak formal antara kami berdua. Simpatiku kepadanya semakin bertambah...namun ada jua persoalan yang menerjah benak kosongku ini...

Aspek keselamatanlah yang paling dirisaukan, rasanya. Hati seorang ibu....ibu mana yang tidak sayangkan anaknya.... Seperti yang pernah kudengari akuannya, "I'm not going to loose you"....kuharapkan Allah akan sentiasa melindunginya dan usaha untuk melindungi anaknya itu....

Mulai dari saat insiden ini terjadi, rasanya tidak silap ku berkata, akulah antara yang paling tahu fasal perkembangannya. Turut ku mendoakan untuk beliau.....biar semakin kuat jiwanya, biar termakbul doanya, demi anaknya.... Kasihan kudengari, kuselusuri, kuikuti rentetan peristiwa yang melanda.... Apabila diselangi pula dengan segala macam peringatan Allah sepanjang hampir sebulan kuharungi perkara ini, benar-benar akan membuatkan hati seorang ibunya tersentuh dek apa yang menimpa.....

Namun kekadang aku(dan rakan-rakan lain jua) terfikir juga, mengapa perlu ada unsur 'tarik tali' bila ingin membuat keputusan. Memanglah tiada hak di atas kami untuk menentukan keputusan yang perlu dilakukan....cukup sekadar cadangan dan perbincangan sesama dua pihak. Namun apa yang diperhatikan kini, umpama tiada ketegasan dalam pemutus kesudahan kisah ini. Bilakah ianya akan berakhir? Sememangnya, hidup ini tak pernah lekang dari masalah....tiada lautan yang tak pernah dihempas ombak....tiada pohon yang tak ditiup sang angin ganas... Namun hati kita perlulah yakin pada janji Allah atas setiap satu yang telah tersurat ini....

Buat diriku ini sendiri, kuharapkan agar terus tabah dan cekal hati menghadapi karenah semua yang terlibat dalam hal ini. Kemunculan Ramadhan di tengah-tengah bentangan masalah yang ada ini telah benar-benar memberi peluang kepada semua yang terlibat ini untuk muhasabah dan renungkan kembali hakikat dan nikmat kehidupan yang diberi Tuhan. KepadaNya sahaja kubisik pengharapan agar bernoktah jua akhirnya nanti situasi ini...

Ya ALLAH..
Sesungguhnya ENGKAU tahu..
Bahwa hati-hati ini telah berpadu..
Berhimpun dalam naungan cintaMU..
Bertemu dalam ketaatan..
Bersatu dalam perjuangan..
Menegakkan syariat dalam kehidupan~

Kuatkanlah ikatannya..
Tegakkanlah cintanya..
Tunjukilah jalan-jalannya..

Terangilah dengan cahayaMU..
Yang tiada pernah kunjung malap..
Ya Rabbi.. Bimbinglah kami..

Lapangkanlah dada kami..
Dengan kurniaan iman..
Dan indahnya tawakkal padaMU..

Hidupkan dengan ma'rifatMU..
Matikan dalam syahid di jalanMU..
Engkaulah pelindung dan pembela...

Ya Rabbi.. bimbinglah kami
Kuatkanlah hati kami~


-Ameen-

Related Posts with Thumbnails